logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

PORT DICKSON, 1 Disember 2021 - Majlis Perbarisan Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (Pingat PNBB) kepada Malaysian Battalion 850-8 (MALBATT 850-8) telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato Sri Hj Affendi bin Buang TUDM, hari ini di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan.

Penganugerahan Pingat PNBB kepada Kontinjen MALBATT 850-8 adalah bagi mengiktiraf kejayaan kontinjen tersebut semasa melaksanakan misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) di bawah PBB di Lubnan selama setahun mulai 14 November 2020 lalu.

MALBATT 850-8 diketuai oleh Kolonel Azudin bin Hassan selaku Komander MALBATT 850-8 dianggotai seramai 854 anggota terdiri dari 83 pegawai dan 771 anggota lain-lain pangkat (LLP) termasuk 3 pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Awam Kewangan dari Kementerian Pertahanan.

Aturgerak pergerakan balik keseluruhan kontinjen MALBATT 850-8 telah dilaksanakan dalam 4 peringkat pergerakan bermula pada 1 Oktober 2021 hingga 16 November 2021. Misi seterusnya telah diambilalih oleh MALBATT 850-9 mulai 13 November 2021 juga selama setahun.

Sepanjang penugasan di bumi Lubnan, Kontinjen MALBATT 850-8 telah mempamerkan disiplin dan mutu kerja yang cemerlang sehingga mendapat pelbagai pengiktirafan daripada UNIFIL sekaligus membuktikan keupayaan serta kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan misi pengaman di peringkat antarabangsa.

Buat pertama kalinya MALBATT telah menerima sijil pengiktirafan Environmental Complience daripada UNIFIL sejak diaturgerak 13 tahun lalu bagi semua kem-kem MALBATT iaitu Kem Marakah, Kem Tibnin, Kem Harris dan Entry Point (EP) 00.

Kontinjen MALBATT 850-8 juga diiktiraf sebagai batalion terbaik di bawah sektor barat dan juga diiktiraf oleh Komander UNIFIL sebagai role model kepada batalion-batalion lain. Selain itu MALBATT 850-8 juga berjaya mengekalkan reputasi baik selaku pasukan pengaman yang disegani oleh masyarakat setempat dan antarabangsa.

Sebagai mengiktiraf segala usaha yang telah dicapai MALBATT 850-8, Angkatan Tentera Malaysia telah menganugerahkan Anugerah Kecemerlangan kepada kontinjen berkenaan. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Panglima-panglima Perkhidmatan, Panglima Angkatan Bersama dan Pegawai-pegawai Kanan ATM.

Lihat Galeri Gambar