logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

SEMPORNA, 20 November 2021 - Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) telah berjaya mematahkan cubaan penyeludupan barang kosmetik di perairan Pulau Danawan, Sabah. Pengesanan dua buah bot laju yang berada dalam keadaan mencurigakan telah dikesan oleh Viper 04 bersama Tim Quick Reaction Force (QRF) Pulau Danawan yang keluar membuat rondaan pada jam 6.51 petang pada 19 Nov 21. Bot berkenaan di dapati dari arah utara Pulau Danawan, di luar kawasan perairan Malaysia menuju ke Semporna. Viper 04 telah berjaya memintas sebuah bot laju manakala sebuah lagi bot laju berjaya meloloskan diri.

Viper 04 bersama Tim QRF yang memintas bot laju tersebut telah membuat pemeriksaan awal dan hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut terdiri daripada dua orang awak-awak lelaki berbangsa Bajau berusia 22 dan 26 tahun dan tiada dokumen pengenalan diri yang sah. Sebanyak 33 buah kotak mengandungi barangan kosmetik yang dianggarkan bernilai sebanyak RM 67,453.00. Turut ditemui 19 tong minyak kosong berkapasiti 40 liter/tong, yang dipercayai akan digunakan untuk mengisi minyak petrol bagi tujuan penyeludupan yang seterusnya. Bot tersebut ditahan atas kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan barangan terkawal yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 dan juga awak-awak bot tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

Bot laju tersebut telah ditunda ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna dan awak-awak bot tersebut kemudianya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna bagi membuat laporan polis. Mereka seterusnya dibawa ke Hospital Semporna bagi melaksanakan ujian saringan COVID-19 sebelum diserahkan semula kepada pihak IPD Semporna bagi siasatan lanjut oleh PDRM. Kerjasama yang erat di antara ATM, ESSCOM, PDRM, KKM dan PPM berada di tahap yang terbaik di dalam usaha menjamin keselamatan di Perairan Pantai Timur Sabah.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim bin Ahmad turut mengucapkan tahniah kepada Tim QRF dan Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) ATB 2 atas kejayaan tersebut. Beliau turut mengingatkan anggota operasi agar sentiasa meningkatkan kesiagaan dan keupayaan operasi yang optimum bagi menangani cabaran keselamatan serta lain-lain ancaman sebilang masa. Operasi sentiasa dilaksanakan bagi memastikan sempadan negara selamat di dalam usaha menyekat jenayah rentas sempadan dan mengetatkan lagi kawalan sempadan melalui pelaksanaan Op PASIR dan Op BENTENG BERSAMA di Perairan Pantai Timur Sabah.

Sumber: PR ATB2