logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

BUKIT JALIL, 3 Nov 2021 - YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, hari ini telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Taman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Bukit Jalil. Beliau juga turut menyaksikan upacara menandatangani Perjanjian Jual Beli antara LTAT dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bagi pembelian 2,000 unit RKMAT - Tentera Darat Malaysia.

Perjanjian ini telah ditandatangani oleh Ketua Eksekutif LTAT, Dato' Nazim Rahman dan Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, En. Abdul Rahman Johor yang mewakili pihak Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Perjanjian tersebut memeterai penjualan unit kediaman oleh LTAT kepada Tentera Darat pada harga RM 560 juta, merangkumi empat blok pangsapuri 38 tingkat yang dibina atas tanah seluas 8.194 ekar.

Pada majlis yang sama, upacara penyerahan simbolik kunci RKMAT, turut disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri yang diserahkan kepada Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Bin Mohd Zain serta empat anggota Tentera Darat yang terpilih bagi mewakili 2000 orang bakal penghuni RKMAT berkenaan.

Perdana Menteri dalam ucapannya telah menyatakan bahawa majlis ini sangat berkait rapat dengan aspirasi utama beliau sebagai Perdana Menteri, iaitu aspirasi ‘Keluarga Malaysia’.
"Melalui aspirasi berkenaan, selain keterangkuman dan kebersamaan, turut titikberatkan ialah kesejahteraan hidup setiap Keluarga Malaysia yang berbilang bangsa, agama serta budaya. Keterangkuman dan kebersamaan ini termasuklah kesejahteraan anggota ATM yang begitu besar jasa, khidmat bakti dan pengorbanannya kepada tanah air kita yang tercinta ini" ujar beliau.

Beliau turut menyatakan bahawa perbincangan dan persetujuan untuk menjadikan rumah mampu milik yang dibangunkan oleh LTAT di Bukit Jalil ini sebagai RKAT telah dilaksanakan semasa beliau menjadi Menteri Kanan Pertahanan.

"Pada ketika itu, saya memilih untuk bersetuju kerana saya tahu masih ramai anggota ATM khususnya warga Tentera Darat terpaksa menyewa di sekitar Lembah Klang atas faktor kekurangan kuarters atau RKAT di wilayah ini. Lebih membimbangkan saya, kadar sewa dan kos sara hidup di Lembah Klang ini agak tinggi dan melebihi kadar Imbuhan Tetap perumahan yang diterima".

Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Seri Hishammuddin Hussein dalam ucapan beliau telah menyatakan bahawa Kementerian Pertahanan melalui Blueprint Perumahan 2.0 sedang melaksanakan perancangan untuk membina 28,033 unit RKMAT di seluruh negara dari tahun 2021 sehingga tahun 2030. Jumlah ini termasuk 8,852 unit RKMAT seperti diumumkan oleh YAB Perdana Menteri menerusi RMK-12 khusus untuk warga ATM.

Daripada jumlah 8,852 tersebut, sebanyak 1,509 unit sudah pun dalam proses pembinaan. Manakala, 7,343 unit lagi sedang dalam proses perolehan. Dengan siapnya 2,000 unit RKMAT di Bukit Jalil ini, diharapkan ia memenuhi kira-kira 85% keperluan perumahan anggota ATM di Lembah Klang.

Sejak tahun 2001, LTAT telah berjaya membina 9,000 unit kediaman di Johor, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur. Projek Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera ini merupakan salah satu inisiatif LTAT untuk meyediakan perumahan yang berkualiti dan selesa bagi kemudahan anggota dan keluarga mereka.

Turut hadir menyaksikan majlis ini ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Haji Affendi Bin Buang TUDM, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia, Dato' Sri Muez Bin Abd Aziz dan Pengerusi LTAT, YM Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Bin Raja Mohamed Noor (Bersara).