logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-88 pada tahun ini dengan tema ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’ telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin Buang TUDM.

Pada tahun ini dan buat julung kalinya sambutan telah diadakan di Kem Segenting, Port Dickson Negeri Sembilan, secara fizikal mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang terkawal tanpa kehadiran penonton dari kalangan masyarakat setempat atau luar. Ini adalah sebagai kawalan bagi memastikan acara dapat diadakan dengan lancar dan mengawal sebarang kebarangkalian penularan wabak COVID-19.

Keseluruhan penglibatan pegawai dan anggota ATM dalam menjayakan sambutan Hari ATM pada tahun ini adalah seramai 2,500 orang. Sambutan kali ini juga agak berbeza berbanding tahun sebelumnya di mana pada tahun ini telah dipertontonkan dengan Latihan Kesiagaan Aset dan Kompetensi ATM sebelum disusuli dengan Perbarisan Statik Tempur serta Penyampaian Perutusan Panglima Angkatan Tentera yang turut disiarkan secara lintas langsung oleh Stesen Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Pelaksanaan Latihan Kesiagaan yang memperlihatkan keupayaan aset serta kompetensi ATM melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), secara tidak langsung mempamerkan kredebiliti ATM dalam menggalas tugas utama bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara. Pada masa yang sama, keupayaan yang ditonjolkan adalah sebagai keyakinan kepada rakyat bahawa kesiagaan ATM pada tugas utama tidak terjejas walaupun kini tumpuan diberikan kepada pelaksanaan tugas sekunder iaitu membantu Negara menangani penularan wabak COVID-19.

Antara aset yang terlibat dalam segmen Latihan Kesiagaan ialah Kereta Kebal PT-91M PENDEKAR, Kenderaan Perisai 8x8 GEMPITA, Kenderaan Berperisai Berantai ADNAN, Kenderaan Berperisai 4x4 LIPAN BARA, Meriam 105mm LG 1 MK III, Helikopter LOH A109 Agusta, SUPACAT, Kenderaan Pengangkut Senjata VAMTAC, Scrambler, 72 Bot Tempur dan Rigid Inflatable Boat (RIB) dari TDM; KD MAHAWANGSA dan KD JEBAT dari TLDM dan Pesawat Pengangkut C130H, Pesawat Tempur SU 30 MKM SUKHOI dan Helikopter EC 725 dari TUDM selain dari penglibatan pegawai dan anggota dari ketumbukan 10 Briged Para, 4 Briged (Mek), Rejimen 881 Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD), Gerup Gerak Khas (GGK), Pasukan Khas Laut (PASKAL) serta Pasukan Khas Udara (PASKAU).

Bagi Acara Perbarisan Statik Tempur pula telah diketuai oleh Kolonel Mohd Rosli bin Abu Bakar melibatkan lapan detasmen yang terdiri daripada Detasmen TDM, TLDM, TUDM, MALBATT, GGK, PASKAL, PASKAU dan Pasukan Aturgerak Cepat (PARA).

Perbarisan pada pagi ini turut menyaksikan terbang lintas empat (4) buah pesawat helikopter ATM yang membawa bendera TDM, TLDM dan TUDM yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Azhar Bin Abdul Rahman TUDM. Perbarisan ini juga turut diiringi oleh Pancaragam Gabungan ATM di bawah pimpinan Mejar Zaiful Azman Bin Zainol Abidin.

Turut diadakan ialah penyampaian Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera yang merupakan anugerah tertinggi di dalam ATM . Anugerah ini diberikan kepada Formasi atau Briged terbaik bagi Tentera Darat, Pasukan terbaik bagi TLDM dan Pangkalan Udara terbaik bagi TUDM. Penerima Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera menerima piala pusingan serta wang tunai sebanyak Ringgit Malaysia Lima Ribu (RM 5,000). Butiran penerima Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera seperti berikut:

a. Brigedier Jeneral Khairul Azmizal bin Ahmad Natal – Panglima 10 Bgd (Para).

b. Komander Asri bin Dasman TLDM - Pegawai Memerintah KD LEKIR.

c. Brig Jen Zulkiffli Bin Hj Musa TUDM - Komander Pangkalan Udara Kuantan.

Tahun ini merupakan tahun kedua ATM berhadapan dengan cabaran dalam menggalas tugas sekundernya bagi membantu negara mengekang penularan pandemik COVID-19. Namun situasi ini tidak menjadi penghalang untuk ATM terus memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. ATM sebagai benteng utama pertahanan Negara akan terus komited untuk mendokong misi dan wawasan Negara bagi menentukan keamanan dan kedaulatan Negara sentiasa terpelihara.