logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

KOTA KINABALU, 1 November 2018 – Panglima Angkatan Tentera, YBhg Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Haji Zulkifli bin Haji Zainal Abidin telah melaksanakan lawatan kerja bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di negeri Sabah. Program lawatan telah dilaksanakan bermula pada 30 Okt 18 yang lalu dan berakhir pada 1 Nov 18.

Lawatan beliau ke Sabah dimulakan dengan meninjau tahap kesiapsiagaan anggota ATM yang bertugas di kawasan Operasi Pasir (Op Pasir) Utara pada 30 dan 31 Okt 18. Dalam lawatan tersebut, beliau telah diberikan taklimat pelaksanaan operasi oleh Pegawai Memerintah Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD), Leftenan Kolonel Azhar bin Ahmad dan telah dibawa meninjau dan bertemu dengan para anggota yang bertugas di beberapa pos operasi di kawasan Op Pasir Utara.

Panglima Angkatan Tentera turut mengambil kesempatan untuk melakukan kunjungan hormat ke atas beberapa pemimpin Negeri Sabah. Beliau telah melakukan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar bin Haji Mahiruddin dan juga Ketua Menteri Sabah, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal.

Lawatan beliau diakhiri dengan mengunjungi Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Teluk Sepanggar, Sabah dan menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) kepada warga ATM dan Veteran. Bagi pingat PJM, seramai 80 orang Veteran ATM yang berasal dari negeri Sabah telah dianugerahkan pingat berkenaan. Pingat ini dikurniakan kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah berkhidmat dalam ATM mulai 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990 yang dikenali sebagai Perkhidmatan Semasa Darurat Kedua atau tempoh yang terlibat di dalam memerangi pengganas Komunis Malaya secara berterusan mulai 1 januari 1969 sehingga 2 disember 1989 dan sehingga 17 oktober 1990 bagi operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara. Di dalam perkhidmatan sesuai dengan statutnya sebagai campaign medal, pingat ini telah dimartabatkan sebagai pingat terkanan dan kekanan susunan berbanding dengan anugerah- anugerah yang sama kelas dengannya.

Bagi Pingat PKN, pingat ini telah dizahirkan pada 26 Januari 2015. Dikurniakan bagi keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kebaktian yang cemerlang dipamerkan oleh pasukan keselamatan dan kakitangan awam semasa kedaulatan negara sedang terancam yang dikenali sebagai Operasi Daulat. Pingat ini dikurniakan kepada mereka yang terlibat dengan Operasi Daulat di Sabah mulai Mac 2013 sehingga Jun 2013. Seramai 80 orang anggota ATM telah dianugerahkan pingat berkenaan dalam majlis pada hari ini. Ianya melibatkan 30 penerima daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), 30 penerima daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 20 penerima daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Dalam majlis tersebut, beliau juga berkesempatan untuk berjumpa dan beramah mesra dengan anggota dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM yang bertugas di negeri Sabah.

Turut hadir dalam acara berkenaan adalah Laksamana Madya Datuk Mohd Reza bin Mohd Sany, Timbalan Panglima Tentera Laut, , Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman bin Haji Ayob, Panglima Armada Timur, Leftenan Jeneral Datuk Stephen Mundaw , Panglima Medan Timur TD, Mej Jen Dato’ Haji Azlan bin Abd Rahman, Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Mej Jen Dato' Dzulkarnain bin Ahmad Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, pegawai-pegawai kanan ATM dan warga ATM.