logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

Istiadat sambutan Hari Pahlawan telah di raikan hari ini, 18 Julai 2014, di Kem Perdana Sungai Besi. Tarikh rasmi Hari Pahlawan yang jatuh pada 31 Julai setiap tahun disambut awal tahun ini bagi memberi laluan kepada Hari Raya Aidil Fitri yang dijangkakan pada 28 dan 29 Julai 2014. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong AlMu'tasimu Billahi Muhibbuddin, Tuanku AlHaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni AlMarhum Sultan Badlishah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah telah mencemar duli menghadiri Sambutan Hari Pahlawan.

Turut hadir ialah YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato' Hj Muhyiddin bin Hj Mohd Yassin dan isteri, YB Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin bin Tun Hussein dan isteri, Panglima Angkatan Tentera, YBhg Jeneral Tan Sri Dato' Sri (Dr.) Zulkifeli bin Mohd Zin dan isteri, Ketua Polis Negara, YDH Inspektor Jeneral Tan Sri Dato' Sri Abdul Khalid bin Abu Bakar dan isteri, Menteri-menteri Kabinet, Pegawai-pegawai Kanan ATM, Pegawai-pegawai Kerajaan, Duta-duta Asing, warga ATM dan PDRM serta veteran-veteran dari ATM dan PDRM.

Keberangkatan SPB YDP Agong dan SPB Raja Permaisuri Agong telah disambut dengan Kawalan Kehormatan Utama diiringi tembakan meriam 21 das. Selesai pemeriksaan ke atas KKU, Tiupan Paluan Akhir (Last Post) telah berkumandang dengan penurunan Jalur Gemilang. Kelainan yang dipersembahkan ialah kemunculan sebuah Condor RPZ bersama anggota ATM yang membentuk Tugu Peringatan Negara.

Acara sambutan telah dimeriahkan dengan persembahan teaterikal Tempur bertajuk DEMI NEGARA KAMI BERKORBAN. Teaterikal ini menyingkap tragedi berdarah di Sabah pada Februari tahun lalu yang telah mengorbankan anggota pasukan pertahanan dan mengancam keselamatan negara. Persembahan melibatkan 11 orang pegawai dan 287 anggota ATM daripada Pasukan Infantri, Rejimen Gerak Khas, Pasukan Bantuan Tempur dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Pesawat Pejuang milik TUDM yang merupakan sebahagian dari persembahan teaterikal turut menggegarkan ruang angkasa di Dataran PTD dengan simulasi letupan. Sajak 'PAHLAWAN KU' yang dideklamasik oleh Kolonel Mohd. Radzi Abdul Hamid turut menjadi sebahagian dari persembahan teaterikal tersebut dan telah menyentuh penonton sehinggakan menitis air mata.

"Pembangunan ekonomi negara banyak bergantung kepada keamanan dan keharmonian dalam Negara. Pasukan Keselamatan telah memainkan peranan yang amat penting dalam menangkis anasir yang cuba memporak-perandakan Negara, dan membantu Negara mencapai kemajuan dan kemakmuran selama ini. Terima kasih tidak terhingga Beta ucapakan." Begitulah sebahagian dari titah SPB YDP Agong. Laungan 'DAULAT TUANKU' turut dipersembahkan kepada SPB YDP Agong sebelum SPB YDP Agong dan SPB Raja Permaisuri Agong berangkat meninggalkan majlis.