logoweb

Open menu

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

KUALA LUMPUR, 21 Oktober 2021 – Malaysia tahun ini memainkan peranan utamanya sebagai tuan rumah dalam penganjuran Mesyuarat Menteri Pertahanan Ke-11 Negara Anggota Peraturan Pertahanan Lima Negara atau 11th FPDA Defence Ministers Meeting yang turut meraikan sambutan Jubli Emas ke-50 tahun penubuhan FPDA sejak ia ditubuhkan pada tahun 1971.

Mesyuarat yang dilaksanakan secara maya di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur pada 21 Oktober 2021 telah dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan Malaysia, YB Dato' Seri Hishammuddin Hussein dengan disertai Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen; Menteri Pertahanan Australia, Peter Dutton; Menteri Pertahanan New Zealand, Peeni Henare; dan Menteri Pertahanan United Kingdom, James Heappey. Turut serta dalam sesi mesyuarat berkenaan adalah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia, Dato' Sri Muez Bin Abd Aziz.

Menteri Kanan Pertahanan dalam hantaran media sosial beliau telah menyatakan bahawa penganjuran mesyuarat berkenaan mengukuhkan lagi persefahaman yang memang sedia akrab antara setiap negara anggota.

Kesemua Menteri Pertahanan negara anggota FPDA yang hadir juga telah senada untuk melaksanakan beberapa pendekatan demi kepentingan bersama yang di antaranya untuk terus memerangi ancaman konvensional melalui pengenalan aset generasi ke-5, memperkukuhkan usaha berkaitan anti keganasan dan keselamatan maritim, memperkenalkan keselamatan siber sebagai salah satu fokus dalam latihan bersama FPDA dan meneruskan program pemerhati sebagai pendekatan untuk memperkasakan kesatuan antara negara anggota.

Mesyuarat ini turut mencapai persetujuan negara anggota untuk berpegang kepada prinsip 3R (remit, relevan, reassurance) dalam meneruskan strategik, proses, struktur organisasi dan aktiviti FPDA. Komitmen ini dimuktamadkan dengan deklarasi bersama yang ditandatangani oleh kesemua Menteri-Menteri Pertahanan FPDA di sesi mesyuarat berkenaan.
Kesemua mereka yang hadir juga memuji kejayaan latihan bersama di kalangan negara anggota termasuk Eksesais BERSAMA SHIELD, Eksesais SUMAN WARRIOR dan Eksesais BERSAMA GOLD 2021.

Seusai mesyuarat dan mengambil kesempatan sempena sambutan ke-50 tahun FPDA ini, juga telah diadakan formasi terbang lintas (fly-past) di Pangkalan Udara Subang yang melibatkan 16 buah pesawat pejuang terdiri dari 5 buah pesawat Su-30MKM dan 4 buah pesawat Hawk dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM); 2 buah pesawat F-15SG dan 2 buah pesawat F-16 C/D dari Republic Singapore Air Force (RSAF) serta 3 buah pesawat F/A-18F dari Royal Australian Air Force (RAAF).

Cabaran pandemik Covid-19 di seluruh negara dan dunia tidak menghalang Malaysia untuk sentiasa memberikan komitmen padu terutama dalam mengekalkan serta memperkasakan hubungan diplomasi pertahanan yang sedia terjalin di kalangan empat negara anggota FPDA iaitu Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom.

Tiada yang lebih bermakna juga dalam meraikan sambutan Jubli Emas FPDA kali ini untuk Malaysia terus berkongsi komitmen antara setiap negara anggota dalam mengekalkan kesatuan, kerjasama dan berganding bahu memperkasa FPDA demi kesejahteraan semua pihak.