logoweb

Open menu

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

GEMAS, 14 Oktober 2021 – Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dato' Sri Haji Affendi bin Buang telah menghadiri Latihan Kuasa Tembakan (LKT) tahun 2021 yang mempamerkan keupayaan maneuver dan kuasa tembakan ketumbukan tempur ‘combined arms’ oleh aset-aset pasukan Mekanize, Armor, Artileri serta pesawat milik Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.

Latihan tersebut telah disertai seramai 969 pegawai dan anggota serta 106 buah aset dan persenjataan seperti Kereta Kebal Pendekar, Kereta Perisai Gempita, Lipan Bara, Adnan dan Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV) serta aset persenjataan kecil hingga ke senjata berkaliber besar seperti Unit Lancar Berganda (ULB) Astros II, Meriam 155 mm G5 MK III, Meriam 105 mm PH L5, Anti-Tank Guided Missile (ATGW) Ingwe, Baktar Shikan, Mortar 81MM dan Rocket-Propelled Grenade (RPG-7 40MM).

Disamping itu, Helicopter Super Lynx dari TLDM yang dipasang dengan persenjataan HMG dan Helicopter Agusta A109 LOH bersama Gatling Gun dari Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) turut mempamerkan keupayaan tempur bersama-sama aset Tentera Darat.

Panglima Angkatan Tentera dalam ucapannya berkata latihan yang dilaksanakan pada hari ini berjaya menonjolkan keupayaan tempur ATM sebagai benteng hadapan pertahanan negara bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara selain memberi keyakinan kepada rakyat mengenai kesiagaan ATM terhadap tugas utama walaupun tumpuan kini banyak diberikan kepada pelaksanaan tugas sekunder iaitu membantu negara menangani penularan wabak COVID-19.

Beliau turut menyatakan ATM mempunyai perancangan strategik dalam meningkatkan keupayaan pertahanan seperti yang digariskan dalam kertas putih pertahanan serta turut merakamkan ucapan terima kasih terhadap keprihatinan kerajaan menerusi pembentangan RMK-12 yang turut menumpukan kepada aspek pemerkasaan keselamatan dan kedaulatan negara serta kebajikan warga ATM.

Turut hadir dalam LKT 2021 hari ini ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib bin Abd Rahman, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan Malaysia, Dato' Sri Muez bin Abd Aziz, Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain serta pegawai-pegawai kanan ATM.