logoweb

Open menu

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

PUTRAJAYA, 31 OGOS 2021- Sambutan Hari Kebangsaan 2021 telah diadakan di Dataran Pahlawan Negara pada hari ini, 31 Ogos 2021(Selasa) bermula jam 8.00 pagi yang disiarkan secara langsung oleh RTM. Perdana Menteri, YAB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob turut hadir meraikan sambutan ini secara maya berikutan kuarantin kendiri beliau.

Selaras dengan saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Hari Kebangsaan pada tahun ini diadakan berkonsep sambutan secara terbuka (outdoor), terkawal dan berskala kecil serta penglibatan fizikal yang terhad tanpa melibatkan kehadiran orang awam dilokasi.

Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Seri Hishammuddin Hussein dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM serta Panglima-Panglima Perkhidmatan turut sama hadir di Dataran Pahlawan Negara untuk meraikan sambutan dalam norma baharu ini.

Sebanyak empat persembahan melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah dipertontonkan iaitu tiga persembahan di lapangan dan satu pertunjukan udara.

Persembahan Drumline ATM dipimpin oleh Drum Major Staf Sarjan Madzain bin Medol dengan kekuatan 60 anggota dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) .

Persembahan Kawad Senyap telah dijayakan oleh Pasukan Kawad Senyap TLDM dari Pangkalan TLDM, Lumut, Perak diketuai oleh Laskar Kanan PAP Mohd Helmi Bin Masuhudi serta turut melibatkan 60 anggota TLDM.

Pancaragam Gabungan Badan Beruniform pula telah diketuai oleh Mejar Mohd Rizal bin Hj Mohd Nor TUDM yang melibatkan gabungan mantap dari Pancaragam Gbaungan ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut mengadakan pertunjukan udara yang
melibatkan pesawat pejuang dan pesawat pengangkut TUDM terdiri daripada Sukhoi 30MKM, F18D Hornet, Hawk, A400M dan C130. Segmen ini memaparkan kebolehupayaan dan kesiagaan TUDM hasil gabungan kemahiran dan kepakaran warga TUDM khas untuk Hari
Kebangsaan 2021.

Diakhir acara, Panglima Angkatan Tentera turut mengambil kesempatan dalam satu sesi ringkas pertemuan bersama semua pegawai dan anggota ATM yang terlibat dalam menyatakan penghargaan serta ucapan terima kasih atas kerjasama serta semangat yang ditunjukkan bagi menjayakan sambutan pada hari ini.

Pelaksanaan sambutan Hari Kebangsaan 2021 pada tahun ini adalah mematuhi dan di bawah pemantauan yang ketat bagi semua prosedur operasi standard (SOP) melibatkan penjarakan fizikal, pergerakan, pemakaian pelitup muka dan sanitasi di lokasi. Gelembung khusus (safety bubble) diwujudkan bagi memastikan tiada percampuran berlaku yang membuka ruang kepada risiko yang tidak diingini. Semua petugas dan peserta persembahan diwajibkan
lengkap dua dos vaksin dan menjalani ujian calitan (swabtest).