Kuala Lumpur, 26 Julai 2018 – Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Haji Zulkifli Haji Zainal Abidin mmebuat kunjungan hormat ke atas Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harundalam yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Haji Zulkifli telah menerima tabik hormat daripada detachment Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Istiadat Kawalan Kehormatan sebelum membuat pemeriksaan dengan diiringi oleh pegawai baris.
Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Bukit Aman sejak dilantik sebagai PAT ke-20 pada 20 Jun lalu bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang telah bersara.
Antara agenda pertemuan tersebut adalah bagi kedua-dua pemimpin dua agensi keselamatan utama negara mengenali dan memahami visi dan misi pasukan dengan lebih lanjut selain berbincang isu-isu keselamatan semasa dari pelbagai perspektif demi ketenteraman awam dan kedaulatan tanah air.
Kunjungan hormat tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim, barisan Pengarah PDRM dan pegawai-pegawai kanan PDRM dan ATM.