• .

  • .

  • .

  • .

  • .

 
 

PERBARISAN PERINTAH ULUNG KOMANDAN ILMI ATM

PORT DICKSON, 02 Oktober 2019 – Menjadi tradisi rejimental untuk seseorang komandan sesebuah unit menentukan kesiapsiagaan unit di bawah pemerintahannya sentiasa pada tahap yang terbaik. Justeru, pada tanggal 2 Okt 19 telah berlangsungnya Perbarisan Ulung Komandan ILMI ATM yang bertempat di Padang Kawad ILMI ATM, Port Dickson. Perbarisan tersebut telah melibatkan kesemua warga ILMI dan penuntut kursus yang telah berkumpul seawal jam 0730 bagi menunggu ketibaan Komandan ILMI ATM yang Ke-5 iaitu Lt Kol Dr Khairul Fauzi bin Azmi.

            Perbarisan secara statik ini terdiri daripada 3 kontijen yang diketuai oleh Timbalan Komandan ILMI ATM, Mej Zulkeple bin Abdullah Sani. Manakala Ajutan perbarisan Kapt Afif Farhan bin Hasbullah dan diiringi Pl Tambor dari 24 RAMD yang diketuai oleh Drum Mejar SSjn Muhd Firdaus bin Md Yusuf.

            Objektif perbarisan ini adalah bertujuan untuk menyatukan keseluruhan warga ILMI ATM dari semua lapisan pangkat di samping mempamerkan semangat kerjasama selain memastikan tahap disiplin yang tinggi dapat dikekalkan di kalangan warga. Komandan ILMI ATM telah memberi penekanan kepada enam perkara di dalam ucapan ulung beliau untuk dilaksanakan oleh setiap warga ILMI iaitu:

            Pertama - Meningkatkan Tahap Profesionalisme. Setiap warga ILMI haruslah mempunyai tahap pengetahuan asas ketenteraan dan mengetahui peranan dan tugas masing-masing secara terperinci dengan penuh tanggungjawab dan beramanah.

            Kedua - Meningkatkan Pengurusan Sumber Manusia. Pengurusan sumber manusia yang cekap serta telus akan dapat memastikan pasukan sentiasa berada di landasan yang betul dan dapat melaksanakan peranan, tugas dan matlamat yang telah ditetapkan. Saya berkehendakkan aspek-aspek berikut diberi perhatian khusus:

            Ketiga - Pengurusan Kewangan Dan Logistik Yang Cekap. Peruntukan kewangan dan dokongan logistik yang terhad, perlu ditadbir urus dengan berhemah supaya tidak berlaku sebarang penyelewengan atau pembaziran.

            Keempat - ILMI Sebagai Pusat Penyelidikan (R&D) dan Galeri Rujukan Ilmu Islam Berkaitan Keagungan Al-Quran Serta Sejarah Ketenteraan Islam. Isu penyelidikan sangat penting dan amat wajar diberi perhatian oleh semua pihak, terutama umat Islam umumnya.

            Kelima - ILMI Sebagai Pembentuk Fizikal Yang Mantap (Al-Jism Al-Salim). Islam mengambil berat tentang kepentingan setiap penganutnya sama ada dalam aspek fizikal, mental mahupun spiritual. Keseimbangan dan kecemerlangan dalam ketiga-tiga aspek ini menjadikan seseorang itu muslim yang ideal dan disukai oleh Allah SWT.

            Keenam - Memperkukuh Kerjasama Strategik Dengan Institusi Latihan, Pusat Pengajian Tinggi dan Kefahaman Islam Di Peringkat Nasional. Sebagai tanda keberadaan ILMI maka hubungan dengan pasukan sahabat perlu diperkukuh erat kerana kita menyedari bahawa kehidupan ini tanpa erti jika tiada sahabat sejati. Justeru hubungan dua hala dengan pusat-pusat latihan yang lain perlu terus dijalinkan dan dilaksanakan.

            Diakhir ucapan, Komandan ILMI berharap setiap warga ILMI agar bersama-sama untuk memperbaharui tekad dan melipatgandakan usaha bagi mencapai matlamat yang digariskan agar ILMI menjadi pusat latihan yang disegani dan terus cemerlang pada masa akan datang.

Artikel dan gambar – Sel ICT ILMI