Laman Web Rasmi

Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) 

Angkatan Tentera Malaysia

      

 

SEJARAH EKSA ATM

EKSA telah diperkenalkan mulai Januari 2014 sebagai inisiatif penjenamaan semula Amalan 5S Sektor Awam dengan mengambil kira keperluan bagi mengetengahkan persekitaran tempat kerja yang berkualiti dan kondusif supaya lebih relevan kepada jabatan/agensi sektor awam di Malaysia. Langkah penjenamaan semula ini difikirkan sesuai dan seiring dengan perubahan dan kehendak semasa untuk meningkatkan prestasi dan daya saing organisasi di samping menyemarakkan lagi budaya kreatif dan inovatif dalam kalangan jabatan/agensi Sektor Awam.

Sebelum pelaksanaan EKSA, Sektor Awam telah mengamalkan 5S dalam Organisasi. Amalan 5S merupakan satu kaedah pengurusan yang dipelopori oleh pihak industri di Jepun bagi mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selesa, kemas dan selamat. Amalan 5S bermatlamat mewujudkan persekitaran kerja yang berkualiti secara sistematik dan praktikal. Pelaksanaan Amalan 5S yang berkesan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan, menjimatkan kos dan memudahkan proses kerja.

Selain memberi keutamaan kepada aspek kebersihan, kekemasan dan keselamatan di tempat kerja, Amalan 5S berupaya memperkukuhkan lagi Sistem Pengurusan Kualiti Bahagian/Jabatan berasaskan Standard MS ISO 9001:2008, khususnya dalam memenuhi keperluan klausa Pengurusan Sumber berkaitan Persekitaran Kerja. Pelaksanaan Amalan 5S yang cekap, berkesan dan konsisten akan memberi nilai tambah pada ketika itu kepada imej korporat Bahagian/Jabatan secara keseluruhan. Diagram perlaksaanaan 5S adalah seperti berikut:

 Mulai tahun 2013, pihak MAMPU telah mengambil inisiatif untuk menambahbaik pelaksanaan Amalan 5S yang kini dijenamakan semula kepada Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA). Langkah ini adalah selaras dengan usaha memperkukuhkan budaya organisasi berprestasi tinggi dan inovatif dalam kalangan agensi–agensi sektor awam melalui penyediaan persekitaran, budaya kerja serta nilai yang menjadi amalan seluruh warga agensi sektor awam.

 

Penjenamaan semula ini dilaksanakan bertujuan untuk meningkatkan imej korporat, menyemarakkan aktiviti kreativiti dan inovasi selaras dengan tuntutan pihak berkepentingan, menggalakkan aktiviti ke arah mewujudkan persekitaran hijau melalui pembudayaan Go Green, memperluas pelaksanaan di agensi-agensi Kerajaan bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif serta memastikan elemen pengauditan memenuhi keperluan kepelbagaian agensi Kerajaan.

Selaras dengan keperluan kriteria Sistem Penarafan Bintang di kalangan Kementerian dan Organisasi kerajaan, ATM juga turut mengambil pendekatan untuk membudayakan Amalan EKSA di kalangan warga kerja ATM.